Dengarlah Anak. ( AYAH)

Sunday 29 April 2012

 Dengarlah anak, surat ayah bukanlah untuk meminta simpati, jauh lagi untuk meminta harta yang telah kamu usahakan selama ini. Ayah hanya mahu kamu tahu, ayah sangat sayangkan kamu. Sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan kamu, sama ada dunia dan juga akhirat.
 Anak, ayah tak minta kamu hantarkan duit untuk ayah setiap bulan. ayah boleh mencari duit sendiri walaupun ayah sudah tua. Walaupun, badan ayah selalu sakit- sakit sekarang, bukan duit yang ayah mahukan dari kamu wahai anak ayah. Ayah masih ingat ketika anak-anak ayah masih kecil yang sangat manja dengan ayah. Ayah akan tersenyum sendiri bila ayah teringatkan zaman kecil kamu. Anak ayah......kenapa, anak ayah susah untuk pulang menjenguk ayah di kampung? Banyakkah kerja anak- anak ayah di pejabat? Tak mengapa, mungkin anak ayah sekarang terlalu sibuk. Seingat ayah, terakhir kamu pulang ke kampung, iaitu setelah anak ayah tamat pengajian. Kamu hanya duduk di kampung selama seminggu, selebihnya anak ayah ke Bandar mencari kerja. Setelah itu, ayah tak jumpa lagi anak ayah. Hanya panggilan telefon yang ayah terima.
 Anak ayah, bukan ayah mengungkit. Ayah cuma teringatkan kisah dulu. Ayah menoreh getah sebelah pagi di kebun getah Pak Samad. Setelah itu, ayah akan ke kebun kita untuk mengambil ubi kayu untuk di jual di tepi-tepi jalan. Along, anak ayah yang sulung, selalu membantu ayah di kebun. Kata along, along mahu mencontohi ayah yang tak pernah mengeluh dalam mencari rezeki. Angah pula, selalu tolong ibu di dapur, sementara adik anak yang paling bongsu masih kecil ketika itu.
 Setiap pagi, ibu akan menghantar along dan angah ke sekolah dengan mengayuh basikal. begitulah setiap pagi sehinggalah Along naik ke sekolah menengah. Keputusan UPSR along sangat cemerlang. Jadi, along dapat tawaran ke sekolah Berasrama Penuh. Ayah gembira sangat-sangat. Ketika itu, tak ramai anak kampung yang dapat masuk ke sekolah berasrama penuh. Setiap hujung minggu, Ayah akan pergi jenguk along di asrama. Ayah gembira sangat, sebab along ketika itu semakin berisi, sebab dapat makan yang makanan yang enak. Tak apa, ayah dengan ibu dah biasa makan ubi kayu dengan ikan masin.
 Semakin hari, anak ayah semakin dewasa. Angah dah jadi anak gadis yang sangat cantik. Ramai yang memuji kecantikan angah. Ayah bersyukur kepada ILAHI kerana menganugerahkan anak-anak yang baik dan cantik selain dari bijak.
 Sekarang, ibu sudah tiada. Anak-anak ayah ke mana? Kenapa tidak pulang semasa ibu sedang nazak dan merindui anak-anaknya? Ibu, hari-hari menyebut nama anak-anak ayah ini sebelum ajalnya. Sampainya hati anak ayah memperlakukan ibu sebegitu. Tetapi, tidak mengapa anak, ayah faham. Anak ayah sibuk mencari rezeki. Ibu ada pesan pada ayah untuk bagitahu anak-anak ayah yang sangat ayah cintai. Ibu halalkan setiap susu yang mengalir dalam tubuhmu. Ibu maafkan setiap perlakuan kamu. Begitu sayangnya ibu pada kamu, anak-anak ayah.
 Angah sudah pun berkahwin dengan lelaki yang kaya di Bandar. Ayah dapat tahu melalui surat khabar. Mungkin along yang menjadi wali kamu, Angah. Tak mengapa, ayah faham, ayah miskin dan tidak berharta. Baju ayah semua koyak rabak. di tampal sana,tertampal di sini. Ayah tak punya cukup wang untuk membeli pakaian ibu dan ayah sebab semua tak penting. yang penting anak-anak ayah semua cukup makan pakai dan pelajaran yang cukup.
 Along juga, mahu berkahwin dengan anak majikan along kan? Tak mengapa kalau along tak mahu menjemput ayah. Sebab ayah tak perlu jadi wali along, kerana along anak lelaki. Ayah akan kumpul duit untuk pergi ke kenduri along kalau along jemput ayah nanti. Tak mengapa nak, tak menyusahkan ayah. Ayah sanggup lakukan apa saja untuk anak-anak ayah. Tetapi, along malu agaknya untuk menjemput ayah. Ayah tiada kereta mahal untuk ayah naiki. Ayah juga tiada pangkat dan tidak di kenali.
 Anak- anak ayah, dulu ayah beri kamu duit untuk kamu belajar dan mencari ilmu yang cukup. Ayah tak mahu anak ayah susah hati memikirkan tentang kehidupan kita yang susah. Mungkin dulu, poket baju ayah koyak, tetapi, di dalamnya ada duit untuk anak ayah belanja di sekolah. Tak apa, ibu dengan ayah tak makan, janji anak ayah cukup segalanya. Tidak di ejek rakan-rakan sekolah yang lain. Alhamdulillah, berkat doa dan usaha anak-anak ayah, semua anak ayah berjaya di menara gading. Belajar sampai ke luar negara. Sekarang hidup juga dah senang. Syukur pada TUHAN yang satu.
 Anak ayah.....Dengarlah, ayah tidak meminta duit yang anak-anak ayah kumpul, sebab ayah tak perlukan duit. Ayah tak mahukan kereta mahal, ayah juga tak mahu pakaian-pakaian canti kerana ayah tahu, pakaian terakhir ayah hanyalah kain putih yang suci seperti sucinya CINTA ayah pada anak-anak ayah.
 Tak sia-sia ayah ke kebun getah, mencabut ubi kayu dan mengutip tin. Ya, ayah sanggup ke pekan untuk mengutip tin. Salah satu usaha ayah untuk mencari duit bagi anak-anak ayah untuk dapat terus belajar dan jadi orang berguna. Ayah tak marah nak, ayah sayang anak-anak ayah semua. Ayah juga tak berkecil hati kalau anak ayah sudah tidak pedulikan ayah. Ayah cuma terkilan sedikit, sebab ibu pergi dalam keadaan kerinduan. Rindu anak-anak kesayangan kami pulang menjenguk kami. Dan ayah tahu, ayah juga akan pergi dalam keadaan rindu.
 Anak- anak ayah, ayah halalkan setiap peluh yang mengalir di badan ayah demi mencari rezeki untuk anak-anak ayah. Ayah halalkan segala setiap suapan ayah pada kamu, dan yakinlah bahawa ayah sangat berbangga dengan semua anak ayah. Dan jangan menyesali apa pun, jika kamu pulang nanti, hanya pondok buruk beratapkan zin yang berkarat dan bocor. Kerana di situlah tempat kamu, anak-anak ayah membesar. Di situlah tempat ayah menadah air hujan kerana atap-atap yang bocor setiap kali hujan, ayah takut untuk lelapkan mata kerana bimbang anak ayah tak selesa bila hujan lebat. Tak mengapa nak, ayah tidak berilmu. Ayah tak tidur pun tak mengapa, sebab yang penting anak ayah tidur lena di tilam. Sementara ayah dengan ibu tidur berbantakan lengan bertilamkan lantai kayu.
 Anak ayah yang ayah sayangi dan cintai, dengarlah. Asuhlah anak kamu sebaiknya. Carilah rezeki yang halal dan harta yang banyak agar cucu-cucu ayah tidak akan mengalami kehidupan seperti kamu dahulu. Ayah sangat bersalah kerana tak dapat memberi kehidupan yang baik pada kamu. tak dapat membeli mainan untuk kamu semua, tetapi ayah syukur anak ayah semua pandai-pandai tanpa mainan, pakaian yang mahal dan cantik. Tuhan anugerahkan tubuh badan yang sihat pada kamu, itu sudah membuatkan ayah bersyukur.
 Akhir kata dari ayah, ayah sayang kamu. Anak ayah. Tidak ada satu dosa pun yang kamu lakukan kerana ayah dan ibu sudah memafkan kamu semenjak kamu lahir ke dunia dan menceriakan hidup ayah dengan suara tangis dan gelak ketawa kamu.

0 comments:

Post a Comment